Pengedar Shaklee Gombak dan Batu Caves

Showing posts with label Tips Buat Si Comel. Show all posts
Showing posts with label Tips Buat Si Comel. Show all posts

Urutan Bayi

Perunding Urutan Bayi, Ooi Phak Hong berkata, sebahagian ibu bapa di negara ini masih kurang didedahkan dengan kepentingan urutan kepada bayi dan ramai ambil ringan mengenainya. 


“Ramai ibu bapa hari ini yang bekerja dan sibuk hinggakan tiada masa bersama anak. Namun sibuk bukan alasan dan batasan untuk mereka meluangkan masa bersama bayi, meskipun hanya seketika. 

“Urutan bayi sebenarnya sangat penting kerana ia boleh merapatkan hubungan di antara ibu dan anak. Sentuhan ibu sangat penting untuk memberikan ketenangan kepada bayi,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu di Petaling Jaya, Selangor. 

Menurutnya, bayi yang mendapat sentuhan dan urutan daripada ibu akan lebih peka dan fokus terhadap sekeliling mereka, sekali gus dapat menghidu bau ibu yang mampu memberi impak positif terhadap perkembangan mereka. 

“Sentuhan adalah satu daripada cara ibu berkomunikasi dengan bayi mereka. Urutan juga mampu merangsang pengeluaran hormon serotonin yang juga dikenali sebagai terapi gembira yang membantu melega dan memberi ketenangan kepada bayi. 

“Kajian menunjukkan, urutan bayi dengan cara betul memberi banyak kesan positif, termasuk menggalakkan interaksi antara ibu bapa dan bayi,” katanya. 

Tambahnya, urutan terbaik dimulakan selepas bayi berusia dua bulan. Ibu bapa yang terlalu sibuk juga boleh melakukannya kerana tidak mengambil masa lama dan dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari. 

“Urutan seluruh badan bayi boleh dilakukan hanya beberapa minit. Dengan sentuhan hanya beberapa minit itu, anda mampu merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anak. 

“Jika ada ibu bapa yang masih ragu-ragu atau takut untuk mengurut bayi, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang terlatih dan mempelajari teknik betul,” katanya.

Sementara itu, bagi pasangan Muhammad Nasyrah Ayub, 35, dan Siti Musinie Ulasim, 31, bengkel urutan bayi yang dianjurkan sangat baik dan memberi pendidikan kepada orang ramai. 

“Saya bersyukur kerana bengkel ini memberi pendedahan dan cara betul mengurut bayi, terutama kepada mereka yang baru bergelar ibu. 

“Seperti saya yang baru melahirkan anak kedua yang kini berusia lima bulan, saya memerlukan informasi dan pengetahuan mengenai teknik urutan yang betul. 

“Sebelum ini, saya langsung tidak mempunyai asas dan pengetahuan mengenainya. Sebab itu apabila pihak Tropicana menjemput, saya dengan berbesar hati setuju,” katanya. 

Jelasnya, apabila menghadiri bengkel urutan, banyak yang dipelajari. Antaranya, teknik dan cara urutan yang betul serta kebaikan yang diperoleh antara ibu dan anak. 

“Saya harap bengkel ini akan diadakan secara berterusan dan dijadikan acara tahunan kerana sambutan diterima sangat menggalakkan. Ramai ibu bapa yang hadir dan mahu tahu lebih lanjut mengenai bengkel urutan ini. 

“Di Malaysia, pendedahan mengenai urutan bayi masih kurang berbanding luar negara. Saya juga akan menyarankan pengasuh yang menjaga anak saya mempelajari teknik urutan bayi kerana ia sangat baik untuk kesihatan serta tumbesaran bayi,” katanya. 


 PENTINGNYA MENGURUT BAYI 

✔Membantu merangsang pembesaran fizikal bayi

✔Menguatkan ketahanan tubuh badan

✔Membina keyakinan diri

✔Melancarkan perjalanan darah dan memperbaiki sistem penghadaman

✔Membantu memudahkan bayi tidur

✔Merangsang aliran oksigen dalam badan

✔Membantu perkembangan fungsi otot

✔Meredakan kesakitan apabila demam

✔Memudahkan penyingkiran bahan toksik

✔Merangsang perkembangan fizikal dan psikologi

✔Membuatkan bayi rasa tenang dan selesa

✔Mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan bayi

sumber: MyMetro

Bayi Berkahak, Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membantu?



BATUK dan selesema adalah dua masalah yang boleh dikatakan pasti berlaku pada setiap bayi. Tidak kira musim sejuk atau panas, simptom tersebut boleh menjadi kronik kepada kesihatan bayi kerana kesukaran mereka untuk mengeluarkan kahak dan hingus boleh menjadi punca penyakit seperti bronkitis atau brochospasm.
Saat masalah tersebut berlaku pada bayi, pasti ibu bapa akan berasa gusar kerana bayi belum mempunyai kepandaian untuk mengeluarkan kahak mahupun menghembus hingus mereka sendiri.
Sebab itulah ada ibu atau bapa yang prihatin sanggup menyedut hingus pada hidung bayi mereka kerana khuatir keadaan tersebut akan membuatkan bayi tidak selesa untuk bernafas.
Syabas kepada ibu bapa yang sanggup melakukan yang terbaik demi kesihatan anak mereka, tapi alangkah lebih bagusnya jika mereka mengetahui tentang teknik fisioterapi yang terbukti boleh memberikan bayi lebih kelegaan daripada masalah batuk dan selesema yang dihadapi.
Pakar Fisioterapi dari Pusat Perubatan Pakar Alpha, Siti Farah Aini Jamaludin berkata, bayi di bawah usia dua tahun memang kerap mengalami bronchospasm iaitu bengkak dan pengecutan dalam paru-paru.
“Simptom penyakit ini seperti batuk, demam, selesema dan sesak nafas. Penyakit ini boleh juga dialami oleh orang dewasa tapi lebih bermasalah jika ia menyerang bayi kerana mereka tidak berupaya mengeluarkan kahak sendiri,” ujarnya ketika ditemui di klinik fisioterapinya di Pusat Perubatan Pakar Alpha, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.
Pengalaman
Berdasar pengalamannya selama lebih tujuh tahun melakukan fisioterapi di pusat-pusat perubatan sebelum ini, kanak-kanak di bawah usia lima tahun sering berhadapan dengan masalah bronkitis atau bronkospasm.
“Ibu bapa biasanya akan merujuk anak mereka ke hospital apabila mendapati anak mereka menghadapi masalah pernafasan seperti hidung tersumbat, pernafasan berbunyi serta simptom seakan penyakit asma.
“Sebenarnya jika ibu atau bapa mempunyai sedikit ilmu fisioterapi, mereka boleh mempraktikkan kepada bayi mereka agar tidak mudah berlaku jangkitan lain terhadap bayi.
“Sebagai contoh, jika bayi mengalami hidung tersumbat dan batuk berkahak dan di rumah memang tidak mempunyai mesin sedut hingus, ibu bapa boleh mencuba teknik tepukan yang dinamakan percussion ke atas bayi mereka.
“Caranya mudah, pastikan bayi dalam posisi meniarap dan letakkan bantal di bawah perut, pastikan bantal itu tidak terlalu tebal. Kemudian condongkan sedikit posisi bantal dengan kedudukan kepala bayi ke bawah dan kaki di atas, pastikan kaki lurus.
“Ibu atau bapa pula bentukkan tapak tangan seakan cupping (lubang di tengah) dan gunakan kekuatan dari pergelangan tangan untuk menepuk perlahan di belakang bayi.
“Tepuk selama lebih kurang 15 minit dan beralih di kiri dan kanan tubuh bayi pula. Tujuan menepuk ini adalah untuk melonggarkan kahak di dalam paru-paru dan 15 minit selepas selesai menepuk, biasanya bayi akan batuk atau bersin dan sekali gus mengeluarkan kahak dalam bentuk muntah. Jika tertelan, tidak mengapa kerana kahak tersebut akan keluar menerusi najis mereka,” jelas Siti Farah.
Siti Farah mengingatkan ibu bapa, sebelum memulakan teknik tepukan percussion ini, pastikan anak tidak minum susu sejam atau setengah jam sebelum bagi mengelakkan muntah.
Siti Farah berkata, bayi yang kesnya dirujuk ke fisioterapi oleh doktor, biasanya akan melalui fisioterapi pada bahagian dada.
“Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor pula untuk melambatkan bakteria, manakala nebulizer adalah untuk membuka saluran pernafasan bayi yang sempit.
“Kombinasi tiga elemen iaitu ubat, nebulizer dan fisioterapi merupakan kaedah yang lazim dilakukan di hospital ke atas bayi yang menghadapi masalah tersebut,” katanya.
Menurut Siti Farah lagi, apabila bayi diserahkan kepada ahli fisioterapi mereka akan dibedung dan teknik tepukan untuk melonggarkan kahak akan dibuat.
Selepas tepukan, mesin penyedut kahak akan digunakan bagi membantu bayi mengeluarkan kahak dan hingus mereka.
“Saya memang faham perasaan ibu yang menangis dan tidak sanggup melihat bayi mereka melalui prosedur tersebut. Tetapi ibu atau bapa perlu tahu, proses tersebut tidak menyakitkan ia cuma tidak selesa pada bayi dan kita sukar untuk mententeramkan bayi.
“Adakalanya juga ketika proses menyedut kahak dan hingus akan keluar bersama sedikit darah, ibu bapa jangan panik. Mereka perlu faham keadaan tersebut berlaku kerana saluran pernafasan anak terlalu sempit dan masih lembut.
“Apabila anak meronta, ia hanya akan menyebabkan kesukaran kepada bayi itu sendiri juga mendatangkan kerisauan kepada si ibu yang melihatnya,” ujar Siti Farah.
-sumber Utusan Malaysia

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...